Rabu, 9 Februari 2011

MAPIM Daerah Hilir Perak Merangkul Anugerah MAPIM Kebangsaan 2010





























Bertempat di UTM Sekudai, Johor telah berkampung Perwakilan MAPIM Kebangsaan dari semua Negeri termasuk Sabah dan Sarawak selama 2 hari 1 Malam pada 17 & 18 Disember 2010 yang lalu.

MAPIM NEGERI DAN DAERAH TERIMA ANUGERAH

Anugerah Khas MAPIM Kebangsaan - MAPIM Negeri Cemerlang 2009

Anugerah MAPIM Kebangsaan - MAPIM Daerah Cemerlang 2009

Ipoh ;- Mimbar Permuafakatan Ibubapa Malaysia (MAPIM) Negeri Perak dan Mimbar Permuafakatan Ibubapa Malaysia (MAPIM) Daerah Kampar, Perak meraih gelaran Anugarah Khas MAPIM Terbaik antara negeri dan antara daerah peringkat Kebangsaan.

Buat pertama kalinya anugerah ini di perkenalkan untuk memberi perangsang kepada setiap MAPIM negeri-negeri dan MAPIM daerah-daerah berusaha dengan lebih aktif menganjurkan pelbagai program.

Hadiah yang disampaikan oleh YAB Dato’ Dr. Zambry Abd. Kadir, Menteri Besar Perak di Perasmian Konvensyen Kekeluargaan MAPIM Kebangsaan di Dewan Politiknik Ungku Omar Ipoh kepada Tn. Hj. Ayub Mohamed mewakili MAPIM Negeri Perak dan En. Md Yusuf Alang Ahmad mewakili MAPIM Daerah Kampar yang turut di saksikan oleh Presiden MAPIM Kebangsaan dan YB Dato’ Mohamad Zahir Dato’ Mohd Khalid Penasihat MAPIM Negeri Perak.

”Penganugerahan ini kepada MAPIM Perak dan MAPIM Daerah Kampar bukan kerana Negeri Perak menjadi tuan rumah, tetapi sememangnya dari pemantauan MAPIM Kebangsaan mendapati MAPIM Perak dan MAPIM Daerah Kampar memenuhi kateria pemilihan yang ditetapkan.” kata Datuk Dr. Jamil Presiden MAPIM Kebangsaan sewaktu mengumumkan keputusan dalam ucapan terdahulunya.

Kata-kata ini diulangi kembali oleh Yang Berbahagia Datuk Presiden sewaktu berucap dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan MAPIM Negeri Perak pada 17 Oktober 2010 yang di rasmikan oleh En. Majid bin Ramli Timb. Pengarah JASA Negeri Perak mewakili YB Dato’ Mohamad Zahir Dato’ Mohd Khalid, Exco Pelajaran Negeri Perak.

Mesyuarat Pengelola Bacaan Yasin Perdana

Timbalan Presiden MAPIM Kebangsaan












Teluk Intan ;- Peperiksaan awam bagi pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah merupakan satu penilaian kepada seseorang pelajar dalam kemajuan pelajaran yang di terima di sekolah.

Bagi pelajar di sekolah rendah Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diduduki oleh pelajar tahun 6 adalah satu cara menilai tahap pencapaian atau kecenderungan pelajar itu untuk meneruskan pelajaran di tahap menengah sama ada Sekolah Harian Biasa atau Sekolah Berasrama Penuh. Penilaian Menengah Rendah (PMR) adalah formula untuk menentukan jurusan pelajar di tingkatan empat sama ada Kelas Sains, Sastera, Vokasional atau yang cemerlang akan mendapat tawaran ke Sekolah terkawal atau institusi seperti MRSM, Politiknik serta sekolah berasrama penuh.

Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) adalah penentu kepada seseorang pelajar ke Institut Pengajian Tinggi Kerajaan atau Swasta. Kejayaan cemerlang seseorang pelajar itu boleh melayakkannya melanjutkan pelajaran ke luar Negara dengan mendapat tajaan biasiswa dari pelbagai badan atau kerajaan.

Atas kesedaran ini Mimbar Permuafakatan Ibubapa Malaysia (MAPIM) Daerah Hilir Perak cuba membantu pihak Pejabat Pelajaran Daerah, Sekolah, Keluarga dan Pelajar Islam dengan menganjurkan program Bacaan Yassin Perdana Peringkat Daerah Hilir Perak.

Bertempat di Bilik Mesyuarat Masjidut Taqwa, Padang Tembak Teluk Intan pada 30 Julai 2010 satu Mesyuarat Penyelarasan Bacaan Yassin Perdana Peringkat Daerah Hilir Perak anjuran bersama MAPIM Daerah Hilir Perak dan Pengurusan Masjid Taqwa telah diadakan bersama 10 buah sekolah menengah dan rendah.

Mesyuarat yang di Pengerusikan oleh Tn. Hj. Ayub Mohamed Pengerusi MAPIM Daerah telah mendapat respon yang amat baik dari pihak sekolah yang hadir keatas penganjuran program. Program yang dicadang untuk diadakan di Masjid Masjidut Taqwa Padang Tembak Teluk Intan pada mulanya di tetapkan pada 6 September 2010 namun dipercepatkan pada 30 Ogos 2010 atas persetujuan beberapa sekolah.

Diakhir mesyuarat, beberapa sekolah juga bersetuju agar program dijadikan program tahunan dengan mencadangkan MAPIM sebagai penganjur. Program pertama ini yang dibiayai separuh dari MAPIM dan separuh dari Pengurusan Masjid juga bersetuju untuk menerima sumbangan dari luar dan kerjasama dari mana-mana pihak pada masa hadapan. Mesyuarat juga bersetuju melantik Tn. Hj. Ayub selaku pengerusi dan En. Mohd Suhaimi Mohd Royani Setiausaha Kehormat MAPIM Perak selaku Setiausaha program.



Selasa, 8 Februari 2011

Pelancaran Buliten MAPIM Perak






Ketua Pengarang Buletin MAPIM Perak









Ipoh , 26 Disember 2009: Bersempena Konvensyen MAPIM Kebangsaan yang bertempat di Politeknik Ungku Omar Ipoh, Mimbar Permuafakatan Ibubapa Malaysia (MAPIM) Negeri Perak mengorak langkah setapak lagi apabila melancarkan Buletin MAPIM Perak edisi khas percuma Bil. 1/2009 untuk edaran terhad kepada ahli sahaja.

Pelancaran yang di sempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Dr Zambry bin Abdul Kadir, Menteri Besar Perak turut di saksikan antaranya oleh Yang Berbahagia Datuk Dr Haji Jamil bin Mukmin, Presiden MAPIM Kebangsaan, Datuk Sohaimi Yacob Timbalan Presiden MAPIM Kebangsaan, Tn. Haji Aziz Ujang Setiausaha Agung MAPIM Kebangsaan dan Tn. Haji Ayub Mohamed YDP MAPIM Negeri Perak merangkap Naib Presiden MAPIM Kebangsaan.

Buletin edisi pertama yang memuatkan peristiwa dan aktiviti MAPIM Negeri dan Daerah serta senarai Jawatan kuasa MAPIM Negeri Perak, buat pertama kalinya di terbitkan sebanyak 1000 naskah dan mempunyai 28 muka surat. Ketua Pengarang utama penerbitan bulletin ini ialah En. Mohd Suhaimi b. Mohammed Royani yang juga selaku Setiausaha Kehormat MAPIM Negeri Perak.

Dengan terlancarnya Buletin MAPIM edisi pertama ini maka akan lebih memudahkan lagi MAPIM Negeri Perak bergerak dan masyarakat akan lebih mudah memahami objektif perjuangan MAPIM itu sendiri. Pada masa pelancaran itu juga MAPIM Perak telah mengedarkan 300 naskah kepada tetamu yang hadir ke Konvensyen di Dewan Melinium Politeknik Ungku Omar Ipoh.

Yang Berbahagia Datuk Dr Haji Jamil bin Mukmin, Presiden MAPIM Kebangsaan sebelum ini telah memuji langkah MAPIM Perak yang merupakan Negeri Pertama berjaya menerbitkan buletin dalam masa yang singkat dan harus di contohi oleh negeri lain.

MESYUARAT AGUNG MAPIM DAERAH- DAERAH DI NEGERI PERAK

Kampung Gajah ; - Bertempat di Kompleks Sejarah Resort Pasir Salak Kampung Gajah Mimbar Permuafakatan Ibubapa Malaysia (MAPIM) Daerah Perak Tengah telah mengumpulkan ahli-ahlinya bagi mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke 2 bagi daerah bekenaan pada 19 Februari 2010 jam 9 malam.

MAPIM Daerah Perak Tengah yang dibawah pimpinan Saudara Mohd Halisham Khalid yang juga Naib Yang Dipertua Bapa MAPIM Negeri Perak telah mengekalkan kesemua Jawatankuasa penaja MAPIM Daerah untuk Jawatankuasa MAPIM Daerah Perak Tengah bagi sesi 2010/2012.

Mesyuarat yang di rasmikan oleh Tn. Hj. Ayub Mohamed YDP MAPIM Perak berjalan lancar. Turut hadir memantau perjalanan mesyuarat ialah Setiausaha Kehormat MAPIM Perak En. Mohd Suhaimi Mohd Royani dan Bendahari Kehormat MAPIM Perak En. Abd. Rahim Arshad.

Dalam ucapan perasmiannya, Tn. Hj. Ayub menegur MAPIM Daerah Perak Tengah yang kurang aktif dan meminta organisasi di perkemaskan serta merancang program yang melibatkan masyarakat perbagai lapisan. Hj. Ayub juga berjanji akan memantau perjalanan setiap MAPIM daerah-daerah dan akan membantu dari segi kewangan serta membuat program kekeluargaan bersama.



Teluk Intan ; - Mimbar Permuafakatan Ibubapa Malaysia (MAPIM) Daerah Hilir Perak yang di bawah pimpinan Tn, Hj. Ayub Mohamed selaku Pengerusi Daerah antara MAPIM Daerah yang aktif mengadakan aktiviti dengan kerjasama pelbagai agensi Kerajaan dan Swasta.

Pada 21 Februari 2010, bertempat di Dewan Rumah Rehat Teluk Intan, MAPIM Daerah Hilir Perak telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunannya yang ke 2. Kehadiran Mesyuarat yang ramai di kalangan ahli baru hadir telah merombak sebahagian Jawatankuasa daerah dari yang sebelumnya. Antara pegawai yang masih memgekalkan jawatan asalnya ialah Tn. Hj. Ayub Mohamed (Pengerusi), Hjh Siti Zainun Abu Mansur (Naib Pengerusi Ibu), Tn. Hj. Pasri Khuzairi (Naib Pengerusi Bapa) dan En. Mohd Suhaimi Mohd Royani (Setiausaha) dan 2 orang Jawatankuasa Hjh. Latifah Ainon Abd. Latif dan Hjh. Maimunah Ibrahim.

Antara muka baru ialah Tn. Hj. Khalidin Zainal Abidin (Timb. Pengerusi), En. Mohd Nor Rashidi Abd Rashid, En. Abd. Rahim Arshad (Bendahari) dan 12 jawatankuasa yang lain adalah muka baru.

”Komitman rakan-rakan jawatankuasa dalam organisasi amat ditagih oleh MAPIM Daerah Hilir Perak kerana banyak perancangan program telah disusun sepanjang 2010 antaranya Seminar Kekeluargaan.”, kata Hj. Ayub. Bagi memantapkan lagi MAPIM Daerah Hilir Perak beberapa majlis kunjung hormat dengan Jabatan-Jabatan akan di adakan bagi menyampaikan maklumat dan penerangan objektif sebenar MAPIM.

En. Mohd Suhaimi dalam ucapan penanguhannya selaku Setiausaha mengajak rakan-rakan meluaskan lagi keahlian MAPIM daerah ke peringkat bawahan dengan komitman seorang jawatankuasa sekurang-kurangnya lima orang ahli.

MAPIM Daerah Hilir Perak juga telah meluluskan satu Usul untuk dibawa ke Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan 2010 MAPIM Negeri Perak.



Kampar ; - Mimbar Permuafakatan Ibubapa Malaysia (MAPIM) Daerah Kampar di bawah pimpinan En. Md. Yusuf Alang Ahmad selaku Pengerusi Daerah antara MAPIM Daerah yang aktif mengadakan aktiviti dengan kerjasama pelbagai agensi Kerajaan dan Swasta. Pada tahun 2009 MAPIM Daerah Kampar telah merangkul anugerah antara MAPIM Daerah terbaik peringkat Kebangsaan pada Konvensyen Kekeluargaan MAPIM Kebangsaan 2009 di Ipoh sempena Mesyuarat Agung Perwakilan MAPIM Kebangsaan yang di rasmikan oleh YAB Dato’ Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Besar Perak.

Dengan kerjasama gandingan yang mantap dengan beberapa agensi Kerajaan dan Swasta lebih memudahkan lagi MAPIM Kampar bergerak melakukan aktiviti bersama. MAPIM Kampar juga mempunyai antara keahlian teramai di Negeri Perak dari pelbagai kaum termasuk kaum orang asli.

Bertempat di Hotel Grand Kampar, pada 14 Mac 2010 MAPIM Daerah Kampar telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunannya yang ke 2 dengan di rasmikan oleh Yang Berbahagia Datin Seri Ismalina Ismail , Jawatankuasa MAPIM Kebangsaan.

Kehadiran mesyuarat mencecah 80 lebih ahli yang hadir menggambarkan bahawa MAPIM dapat diterima masyarakat umum yang mahukan bimbingan bagi memperkukuhkan institusi kekeluargaan untuk masa depan yang cemerlang.

Datin Seri Ismalina sendiri merasa kagum dengan sambutan yang di beri dan berharap anugerah MAPIM Daerah terbaik Kebangsaan dapat di pertahankan pada tahun 2010.

”Kekukuhan Institusi kekeluargaan itu penting kepada sesebuah keluarga,masyarakat, negeri dan negara seperti Malaysia kerana ia akan melahirkan generasi yang berkualiti dan cemerlang bagi memimpin atau menjadi tonggak membina kemajuan ekonomi, pembangunan dan kekuatan pertahanan kepada keluarga, masyarakat, negeri dan negara.”katanya sewaktu merasmikan mesyuarat. Turut hadir dalam perasmian mesyuarat itu, Tn. Hj. Ayub Mohamed YDP MAPIM Perak.

Pada agenda mesyuarat pemilihan jawatankuasa bagi MAPIM Daerah Kampar ramai penyandang jawatan muka-muka lama di kekalkan termasuk Pengerusi En. Md. Yusuf Alang Ahmad dan Timbalan Pengerusi MAPIM Daerah Kampar.



Manjung, Sitiawan ; - Mimbar Permuafakatan Ibubapa Malaysia (MAPIM) Daerah Manjung yang di pengerusikan oleh Tn. Hj. Mohd Hafidz Hj. Mohd Hassan selaku Pengerusi Daerah adalah salah satu daripada 7 MAPIM daerah di Negeri Perak yang turut aktif dengan program.

Bertempat di Pejabat GPMS Manjung berlangsungnya Mesyuarat Agung Tahunan MAPIM Daerah pada 31 Mac 2010 bermula jam 9 malam dengan di rasmikan oleh En. Md. Yusuf Alang Ahmad Naib Yang Dipertua MAPIM Negeri Perak. Mesyuarat yang dipantau sepenuhnya oleh En. Mohd Suhaimi Mohd Royani Setiausaha Kehormat MAPIM Perak dan En. Abd Rahim Arshad berlangsung dalam suasana kekeluargaan. Tiada banyak isu dibangkitkan namun yang dicadangkan adalah program seminar kekeluargaan dan gesaan oleh pengerusi mesyuarat untuk penambahan ahli MAPIM daerah.

Kesemua Jawatankuasa lama di kekalkan termasuk Tn. Hj. Mohd Hafidz selaku Pengerusi Daerah kecuali yang tidak hadir digugur dan diganti dengan jawatankuasa baru.



Sungai Siput ; - Mimbar Permuafakatan Ibubapa Malaysia (MAPIM) Sungai Siput di bawah pimpinan En. Ahmad Muzakir Ngah Dimin selaku Pengerusi, merupakan salah satu Cawangan MAPIM Negeri Perak yang mendapat kelulusan penubuhannya pada tahun 2009.

Bertempat di Dewan Felda Lasah Sungai Siput berlangsungnya Mesyuarat Agung Tahunan MAPIM pada 21 Mac 2010 dengan di rasmikan oleh En. Md. Yusuf Alang Ahmad Naib Yang Dipertua MAPIM Negeri Perak.

Kehadiran ahli baru dan lama pada Mesyuarat Agung Ke 2 telah merombak hampir separuh dari jawatankuasa lama bagi sesi 2010-2012. En. Ahmad Muzakir dikekalkan menerajui MAPIM Sungai Siput untuk penggal seterusnya. Dalam ucapan penangguhannya beliau berjanji akan berbincang dengan kepimpinan MAPIM Negeri untuk menganjurkan sekurang-kurangnya satu program negeri di Kawasan Sungai Siput di samping program-program lain.



Kinta Utara, Ipoh ; - Mimbar Permuafakatan Ibubapa Malaysia (MAPIM) Daerah Kinta Utara di bawah pimpinan En. Sharuddin Deli selaku Pengerusi penaja MAPIM Daerah, merupakan salah satu Cawangan MAPIM Negeri Perak yang juga mendapat kelulusan penubuhannya pada tahun 2009.

Kegagalan En Sharuddin untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan dalam tempoh yang di tetapkan oleh Pengurusan MAPIM Negeri Perak maka Mesyuarat Agung Tahunan Daerah Kinta telah diambil alih oleh Pengurusan MAPIM Negeri Perak yang menyusun Mesyuarat melalui Pn. Salbiah Abdul Rahman yang merupakan ahli awal MAPIM di Perak.

Mesyuarat yang di rasmikan oleh Tn. Hj. Ayub Mohamed YDP MAPIM Perak dan di pantau oleh En. Mohd Suhaimi Mohd Royani Setiausaha Kehormat berjalan lancar dengan Pn. Salbiah di angkat untuk menerajui MAPIM Daerah Kinta Utara. ”MAPIM Negeri Perak bercadang untuk mengadakan satu program untuk masyarakat MAPIM Daerah Kinta Utara pada bulan Disember atau pada awal tahun 2011.” kata Hj. Ayub dalam ucapannya.



Tapah (Batang Padang) ; - Bertempat di Rumah Rehat Tapah dengan di hadiri oleh Tn. Hj. Ayub Mohamed, YDP MAPIM Perak, En. Md Yusuf Alang Ahmad Naib YDP, En. Mohd Suhaimi Mohd Royani Setiausaha, En. Yazid Ismail dan En. Mohd Nor Rashidi Rashid Jawatankuasa Mimbar Permuafakatan Ibubapa Malaysia (MAPIM) Negeri Perak, telah diadakan Mesyuarat MAPIM Daerah Batang Padang.

MAPIM Daerah Batang Padang yang di bawah pimpinan Tn. Hj. Ahmad Suhaimi Hj. Ariffin pada mulanya gagal mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan seperti yang diarahkan oleh MAPIM Negeri sehinggalah Pengurusan MAPIM Negeri mengambil alih . Melalui En. Md Yusuf Alang Ahmad Naib YDP MAPIM Perak satu mesyuarat di susun dan melantik En. Abdul Rahman Omar selaku pengerusi baru dengan di pantau oleh MAPIM Daerah Kampar.

SEMINAR MEMPERKASA KELUARGA BAHAGIA DALAM KOMUNITI LA 21 MANJUNG











Manjung, Perak : Di atas kesedaran betapa pentingnya remaja sebagai aset utama dalam menjana pembangunan negara dan sebagai pemimpin masa hadapan, Jawatankuasa LA 21 Manjung bersama Mimbar Permuafakatan Ibubapa Malaysia (MAPIM) Daerah Manjung, Majlis Belia Daerah Manjung dan Pasukan Pelindung Kanak-Kanak Daerah Manjung mengambil inisiatif menjayakan Seminar Memperkasa Keluarga Bahagia Dalam Komuniti LA 21 Manjung pada 26 Jun 2010 di Dewan Merdeka, Majlis Perbandaran Manjung.

Seminar yang di rasmikan oleh Y.B Dato’ Seri Kong Cho Ha, Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lumut telah menarik minat lebih 400 peserta hadir dari pelbagai kaum dan peringkat umur. Dalam ucapan perasmiannya, Y.B Dato’ Seri Kong Cho Ha mengharapkan banyak lagi seminar seperti ini di jalankan dengan melibatkan pelbagai kaum, selain dari mendapat maklumat, kenal mengenali, bertukar-tukar pendapat ia akan menyatupadukan kaum untuk merealisasikan Gagasan 1 Malaysia.

”Peranan agensi kerajaan, swasta dan badan NGO serta pemimpin masyarakat perlu peka keadaan persekitaran dalam komuniti bagi membendung punca gejala keruntukan akhlak remaja dapat di atasi dari awal. Program Seminar seperti ini boleh meningkatkan kesedaran komuniti yang prihatin dan bertanggungjawab terhadap pelbagai gejala sosial dan isu persekitaran masing-masing boleh di kongsi dalam seminar,” katanya.

Seminar juga telah menampilkan Ceramah Pn. Fauziah Hanim Yahya, Kaunselor/Pegawai Penerangan LPPKN Negeri Perak bertajuk ’Tanggungjawab Ibu Bapa Dalam Pembinaan Remaja Yang Berakhlak Mulia’ yang memaparkan belbagai kejadian keruntuhan moral akhlak remaja yang telah berlaku di Malaysia.

Pada slot program forum pula dengan tajuk ’Cabaran dan Peluang Dalam Membentuk Remaja Yang Berakhlak Mulia’ menampilkan 3 ahli panel yang di Pengerusikan oleh En. Tajul Adzmir Mustapha dari Majlis Belia Daerah Manjung dengan ahli panel Supt. Ahmad Rabawi Jamil, Ketua Bahagian Agama dan Kaunseling IPK Perak, Tn. Hj. Ayub Mohamed, YDP MAPIM Perak merangkap Naib Presiden MAPIM Kebangsaan dan En. Jalaludin Abd. Aziz, Pengarah LPPKN Perak.

Pelbagai isu di pertengahkan yang mencakupi isu gejala keruntuhan akhlak remaja dalam komuniti, masalah komuniti, punca gejala keruntuhan akhlak, saluran bantuan dan cara mengatasi di perbincangkan bersama. Ini bertujuan untuk menimbulkan kesedaran kepada peserta terhadap tanggungjawab mereka membantu menangani masalah remaja di kawasan komuniti masing-masing.

Pada kesimpulannya, ibu bapa sebagai tunggak keluarga memainkan peranan penting dalam mendidik dan mengawal anak-anak supaya menjadi insan yang berdisplin berakhlak mulia dan menjadi rakyat yang berguna di masa hadapan dengan bantuan masyarakat komuniti yang perihatin dan cemerlang.

Bersempena dengan seminar ini MAPIM Negeri Perak telah membuka meja pameran yang memamirkan segala gambar aktiviti MAPIM, kertas kerja MAPIM, menerima permohonan ahli MAPIM dan pertanyaan berkaitan MAPIM, pameran di kelolakan oleh En. Mohd Suhaimi Mohd Royani Setiausaha Kehormat MAPIM Perak dibantu oleh En. Abd Rahim Arshad AJK MAPIM Perak.

PROGRAM PEMANTAPAN KECEMERLANGAN INSAN 2010 anjuran MAPIM DAERAH HILIR PERAK











Teluk Intan, Perak : Bertempat di Dewan Setia Budi, SMK Seri Setia, Teluk Intan pada 17 Julai 2010 Mimbar Permuafakatan Ibubapa Malaysia (MAPIM) Daerah Hilir Perak dengan kerjasama Unit Bimbingan Kaunseling SMK Seri Setia, SMK Seri Kandi dan SMK Abdul Rahman Talib telah menganjur Program Pemantapan Kecemerlangan Insan 2010.

Program yang terbahagi kepada 2 sesi di jalankan separuh hari itu telah menampilkan pakar Motivasi jemputan En. Azmi bin Hamid Pensyarah IPG Kampus Tuanku Bainun Bukit Mertajam. Peserta yang terdiri dari pelajar-pelajar terpilih dari tingkatan 3 dan tingkatan 5 SMK Seri Setia , SMK Seri Kandi dan SMK Abdul Rahman Talib seramai 180 peserta telah di beri pelbagai pendedahan untuk cemerlang dalam peperiksaan dan kehidupan masa depan.

Tuan Haji Ayub Mohamed Yang Dipertua MAPIM Negeri Perak merangkap Pengerusi MAPIM Daerah Hilir Perak yang hadir dalam majlis perasmian penutup yang di sempurnakan oleh Pn. Norshamsiah Hasan Basri, mewakili Pegawai Pelajaran Daerah Hilir Perak, dalam ucapannya merayu agar peserta dapat memberi maklum balas dengan mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.

”MAPIM adalah NGO yang objektifnya untuk membantu membina institusi kekeluargan samada dalam bandar atau luar bandar dan tidak hanya melibatkan sesuatu kaum sahaja agar menjadi cemerlang bukan sahaja dalam pendidikan, pekerjaan atau kesenangan tetapi keseluruhannya”, katanya

Bagi pihak tuan rumah Pn. Samsiah binti Raji, Pengetua SMK Seri Setia amat bebesar hati kerana peranan MAPIM dalam membantu pihak sekolah menganjurkan program yang amat bermakna, pihak sekolah amat berharap kerjasama sebegini dapat di teruskan pada tahun hadapan.

Pihak Pejabat Pelajaran Daerah Hilir Perak sememangnya mengharap lebih banyak lagi NGO-NGO mencontohi seperti MAPIM ini membantu sekolah-sekolah dalam penganjuran program kepada pelajar. Pendedahan ilmu dari penceramah luar kadangkala lebih berkesan kepada pelajar dalam menghadapi peperiksaan, ujar Pn. Norshamsiah dalam ucapan beliau.

Peruntukan dari MAPIM Daerah Hilir Perak bagi penganjuran bersama program ini di salurkan oleh MAPIM Negeri Perak.

Khamis, 3 Februari 2011

AYUB MERASMIKAN HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN SMK SERI SETIA, TELUK INTAN 2010







Teluk Intan , 22 Julai 2010: SMK Seri Setia , Teluk Intan telah mengadakan Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan Akademik kepada pelajar-pelajar bagi tahun 2009. Majlis Perasmian yang di sempurnakan oleh Tn. Hj. Ayub bin Mohamed, Naib Presiden MAPIM Kebangsaan merangkap YDP MAPIM Negeri Perak itu berlangsung pada sebelah petang bermula jam 2.00 petang.

Turut hadir sama dalam majlis perasmian itu ialah Pengerusi PIBG SMK Seri Setia Tn. Hj. Mohd Yusuf Taib dan Setiausaha Kehormat MAPIM Negeri Perak En. Mohd Suhaimi Mohammed Royani.

Dalam ucapan perasmiannya, Tn. Hj. Ayub mengingatkan kepada ibubapa yang hadir tentang kewajiban tugas ibubapa memantau anak-anak dan jangan mengharapkan didikan itu hanya di pihak sekolah sepenuhnya. Beliau mengajak agar ibubapa menjadi ikon kepada anak-anak dengan menunjukan perwatakan, cara berpakaian, cara pergaulan dengan rakan, dengan anak-anak serta seluruh keluarga cara yang baik.

Tokoh pelajar cemerlang 2009 telah diraih oleh Saudari Sonia Divya a/p Radhakrisnan anak kepada bekas guru di SMK Seri Setia Pn. Paramaswary yang bertukar ke SMK Seri Perak dan anak kepada AJK PIBG SMK Seri Setia, hadiah di sampaikan oleh Tn. Hj. Ayub bin Mohamed.

Selain dari pelajar, guru panitia mata pelajaran yang keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Awam iaitu PMR dan SPM juga mendapat penganugerahan dari pihak sekolah yang turut di sampaikan oleh Tn. Hj. Ayub.

PROGRAM SINAR SYAWAL 2010















Kampar, Perak : Bertempat di Masjid Jamek, Kampung Sahom, Kampar, Mimbar Permuafakatan Ibubapa Malaysia (MAPIM) Negeri Perak dan MAPIM Daerah Kampar serta PIBG SMK Kampar, PDRM Kampar dengan kerjasama PPD Kinta Selatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat Kampar, JKK Sahom, Yayasan Bina Upaya dan Jabatan Kesihatan Kinta telah menganjurkan bersama Program Sinar Syawal pada 26 Ogos 2010 yang di rasmikan oleh YB Dato’ Samsudin bin Abu Hassan, ADUN Air Kuning, Kampar.

Program yang melibatkan sebahagian pelajar dari SMK Kampar dan keluarga yang kurang berkemampuan di PPRT, Sahom Kampar bermula pada jam 3.00 petang dengan pelajar di beri ceramah oleh unit PDRM Kampar berkenaan Jenayah Remaja dan ceramah dari INTIM Ipoh dengan tajuk Insan Soleh dan keibubapaan. Bagi ibubapa, guru dan pegawai lain mengadakan gotong royong membersihkan persekitaran Masjid dan kawasan PPRT di samping ada rawatan percuma dan pameran oleh agensi yang terlibat.

Objektif program adalah untuk memberikan peluang dan ruang kepada pelbagai pihak untuk penambahbaikan hubungan permuafakatan integrasi masyarakat. Memupuk kesedaran dan kepentingan pencegahan jenayah dalam kalangan pelajar dan remaja. Memupuk semangat muhibah dan perpaduan dalam kalangan pelajar dan masyarakat dan memberikan bantuan keluarga pelajar yang kurang berkemampuan untuk menyambut Syawal dengan suasana ceria.

Pada ucapan perasmian program, YB Dato’ Samsudin mengajak masyarakat mempertingkatkan permuafakatan masyarakat dengan membantu mereka yang kurang berkemampuan menjelang Syawal di samping mempertingkatkan amalan di penghujung Ramadhan. Di samping itu beliau turut mengingatkan para pelajar dan remaja agar mengelak dari melakukan jenayah yang semakin menjadi-jadi melibatkan golongan pelajar dan remaja masa kini.

Program Sinar Syawal ini turut menyampaikan sumbangan kepada fakir miskin antaranya beras, gula, minyak dan barang makanan lain yang di sampaikan oleh YB Dato’, Tn. Hj. Ayub YDP MAPIM Perak, Pengetua SMK Kampar dan Ketua Polis Daerah Kampar serta Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kampar kepada 30 fakir miskin yang terpilih di sekitar Kg. Sahom . Kemudian semua hadiri di hidangkan dengan jamuan berbuka puasa, Solat Maghrib, Solat Isyak dan Solat Terawih berjemaah.

Program Bacaan Yaasin Dan solat Hajat Perdana Untuk Peperiksaan Awam Pelajar Daerah Hilir Perak 2010














Hilir Perak, Perak : Mimbar Permuafakatan Ibubapa Malaysia (MAPIM) Daerah Hilir Perak bersama Jawatankuasa Masjidut Taqwa Padang Tembak dan Pejabat Pelajaran Daerah Hilir Perak sekali lagi bergabung menganjurkan program bersama Majlis Bacaan Yaasin dan Solat Hajat Perdana bertempat di Masjidut Taqwa, Padang Tembak pada 30 Ogos 2010. Di mulakan dengan Majlis Berbuka Puasa beramai-ramai di susuli dengan Solat Maghrib berjemaah, Bacaan Yaasin, Solat Isyak, Solat Sunat Hajat, Solat Terawih dan jamuan teh di akhir program.

Program yang julung kali diadakan telah mendapat sambutan yang amat menggalakan kerana yang hadir di luar jangkaan penganjuran. Penyertaan dari Sekolah-sekolah berhampiran antaranya katogeri Sekolah Menengah SMK Seri Setia, SMK Seri Kandi, SMK Abdul Rahman Talib, SMK Sultan Abdul Aziz, SMK Raja Muda Musa dan SM Teknik. Katogeri SRK terdiri dari SK Seri Setia, Sk Selabak, Sk Sultan Abdul Aziz, Sk Raja Muda Musa , SK Tebuk Banjar dan SK Pewira. Penyertaan teramai adalah dari SM Teknik yang hadir seramai 180 orang pelajar.

Objektif program ini adalah sebahagian dari usaha MAPIM, Masjidut Taqwa dan Pejabat Pelajaran Daerah Hilir Perak membantu pelajar-pelajar berikhtiar memohon kehadrat Ilahi kecemerlangan bagi menghadapi peperiksaan awam seperti UPSR, PMR, SPM dan STPM 2010.

Dalam ucapan terdahulu Tn. Haji Ayub Mohamed, Pengerusi MAPIM Daerah Hilir Perak merangkap Pengerusi Penyelaras Program berharap kerjasama seperti ini dapat di teruskan dan MAPIM juga berharap peningkatan kecemerlangan kelulusan pelajar Daerah Hilir Perak dapat di pertingkatkan ke tahap kualiti yang tinggi dari tahun lalu. Ibubapa juga perlu membantu anak untuk belajar, janganlah sewaktu anak mengulangkaji pelajaran ibubapa sibuk dengan rancangan TV dan doa seorang ibu dan seorang bapa itu sebahagian dari bantuan kecemerlangan anak itu di capai, ujar Tn. Hj. Ayub.

Turut hadir pada program ini En. Zainal Abidin Bin Osman Pegawai Pelajaran Daerah Hilir Perak bersama beberapa orang pegawai dan Ketua Kampung Padang Tembak. Dalam ucapan amanatnya, En. Zainal Abidin PPD Hilir Perak mencabar pelajar-pelajar Daerah Hilir Perak untuk membuktikan bahawa mereka adalah pelajar cemerlang dan di zahirkan dalam peperiksaan yang akan datang.

”Pelajar hari ini adalah aset masa depan negara dan tiang keteguhan benteng negara maka kalau pelajar hari ini tidak mampu untuk menjadi pelajar cemerlang dan terbilang maka mampukah untuk menjadi pemimpin negara di masa hadapan, ibubapa harus bersama memainkan peranan untuk menzahirkan kejayaan anak-anak”, katanya.